Akhirnya nenek dapat ciptakan laman ini utk diri sendiri. Tempat untuk nenek berkongsi cerita. Tempat untuk nenek meneruskan minat menulis kerana tiada sesuatupun yang terlambat. Selagi masih ada keinginan bila masa pun, tiada sempadan.
Sudah banyak kali laman serupa ini yang nenek buat untuk mengisi masa-masa terluang. Namun kerana mudah terlupa password, maka laman itu terbiar begitu sahaja. Sekadar menjadi pengikut blogger yang disarankan teman teman. Dan tiada satu pun antara blog rekaan nenek itu yang menggunakan nama sebenar nenek. Bukan tidak mahu, tetapi dinasihatkan begitu. Entah.
Disebabkan kata-kata mereka, hasil nukilan dan karya-karya nenek yang pernah nenek tulis satu ketika dulu dengan menggunakan nama-nama samaran, tidak dapat diulangsiarkan semula selagi nenek tidak mendapatkan kebenaran dari pihak tertentu. Sedangkan itu hasil karya nenek. Yang pernah menjadi bahan bacaan segelintir orang yang mahu dan tahu menghargai hasil karya seseorang.
Hari ini, nenek ketepikan dulu segala apa yang bakal orang rasa. Nenek mahu bercerita. Nenek suka dan selesa. Nenek mahu meluah rasa. Izinkan nenek untuk itu dan tegurlah nenek jika nenek menyimpang jauh. Nenek perlu berani untuk berkata benar. Walaupun yang benar itu selalunya pahit.
No comments:
Post a Comment